SMK DABB

SMK DABB

Monday, July 26, 2010

MALAYSIA RENTAP EGO KOREA SELATAN





BUKIT JALIL, (D5 Sports) - Malaysia mencatatkan kejayaan membanggakan apabila pasukan bawah-23 tahun (b-23) berjaya menundukkan pasukan Korea Selatan b-23 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Gol Malaysia hadir menerusi pemain tengah, Safiq Rahim hasil rembatan dari luar kotak penalti sekaligus menewaskan pemain terakhir lawan, Lee Bum Soo pada minit-50.

Perlawanan yang diaturkan sempena memperingati ulangtahun hubungan diplomatik Malaysia-Korea Selatan ke-50 tahun itu tampak seimbang dipersembahkan oleh kedua-dua pasukan di awal permainan. Skuad bimbingan K.Rajagobal dilihat agak gopoh di depan gol dan beberapa peluang di depan gol dipersiakan.

Cubaan tepat pertama dicetuskan Ahmad Fakri Saarani tetapi rembatan di luar kotak penalti itu tepat ke dakapan penjaga gol.

Dengan dibarisi pertahanan tinggi lampai seperti Jeong Dong Ho dan rakan-rakan, pemain negara sukar untuk menembusi benteng lawan dengan corak serangan daripada bahagian sayap.

Pada minit ke-24, Norshahrul Idlan Talaha terlepas peluang menarik untuk membuat percubaan berikutan kurang cermat menyambut bola rakannya meskipun tidak dicabar sesiapa.

Selang beberapa minit selepas itu S.Kunanlan pula gagal membaca pergerakan rakan sepasukan tetapi pertahanan Korea Selatan tampak mula goyah sekaligus memberi barisan negara untuk bermain lebih yakin.

Bagaimanapun Malaysia hampir dihukum akibat kelekaan di bahagian pertahanan sehingga memberi pelawat sepakan percuma di luar kotak penalti. Bergegar palang gol Malaysia apabila sepakan Park Hyung Jin sudahpun menewaskan Mohd Sharbinee Allawee.

Permainan bersambung dengan tiada sebarang pertukaran pemain. Lima minit kemudian, Safiq Raim menceriakan penyokong sendiri apabila rembatan berjaya menggegar jaring lawan.

Berpunca daripada penyerang Zaquan Adha yang dijatuhkan Jang Suk Won, Safiq yang mengambil peranan sepakan percuma di sebelah kiri terkena benteng lawan. Tetapi bola lantunan itu pantas disambar semula sebelum pemain Selangor itu memperdayakan seorang pemain lawan sebelum melepaskan rembatan.

Korea Selatan mula bermain lebih agresif lagi selepas itu. Keadaan itu memaksa jurulatih negara melakukan beberapa pertukaran. Pelawat pula banyak memberi tekanan di bahagian sayap kanan.

20 minit terakhir, Korea Selatan melancarkan serangan bertali-arus tetapi buntu untuk menembusi benteng yang diketuai Aidil Zafuan Abdul Razak. Otot Sharbinee juga tidak banyak dikerah.

Keputusan kekal sehingga pengadil perlawanan, Subkhiddin Mohd Salleh meniupkan wisel terakhir.

caption: Safiq Rahim wira negara apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan.

0 comments:

Post a Comment